Thursday 21 July 2011

My Assignment - Blog Analisis

Pengenalan 
            Blog merupakan jurnal online yang digunakan untuk menyatakan pendapat peribadi, atau penulisan mengenai sesuatu perkara dan sentiasa dikemaskini setiap hari. Konsep blog adalah sama dan tidak ubah seperti buku catatan harian atau diari harian. Perbezaan ketara antara blog dengan laman web biasa adalah setiap kali kita mengemaskini atau memasukkan artikel/penulisan terbaru, artikel yang terkini akan berada diatas dan yang lepas akan berada dibawah (reverse chronological order). Selain itu, blog juga merupakan satu aktiviti yang mudah untuk diurusan atau digunakan oleh sesiapa sahaja kerana ia tidak perlu mempunyai pengetahuan teknikal yang tinggi kerana blog ini telah dilengkapi dengan pelbagai fungsi.

            Aktiviti mengemaskini atau menguruskan blog dinamakan sebagai “blogging” manakala pemilik atau penulis di blog tersebut pula dikenali sebagai “blogger” dan tulisan yang ditulis oleh blogger tersebut dikenali pula sebagai “artikel”. Selain menulis artikel di blog, blogger juga boleh menerima pandangan/pendapat (comment) daripada pelawat yang membaca artikel di blognya. Namun, pandangan atau pendapat ini boleh dibuka atau tidak dibuka untuk pelawat blog tersebut. Disebabkan blog ini mudah untuk digunakan oleh sesiapa sahaja dan mudah untuk dikemaskini, maka enjin carian seperti Google, mudah untuk mencari laman web untuk blog tersebut kerana sentiasa dikemaskini oleh pemiliknya.

Blog boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Blog Perniagaan (Business Blog), Blog Peribadi (Personal Blog) dan Contents Blog (Mohd Zulfadli, 2007). Blogperniagaan ini diwujudkan khas untuk individu yang ingin menjalankan perniagaan dan ingin menjual produknya secara online manakala blog peribadi pula adalah satu blog yang tidak memfokuskan kepada satu topik yang khusus atau tidak diwujudkan untuk perniagaan atau menghasilkan pendapatan. Ia dibina untuk membina komuniti atau jaringan hubungan tersendiri diantara blogger-blogger lain seperti tulisan mengenai hal-hal peribadi, gosip dan pandangan sendiri mengenai sesuatu isu yang ingin dikongsikankan dengan pembaca atau pelawat blog tersebut. Berlainan pula dengan contents blog dimana ia diwujudkan bertujuaan untuk mendapatkan pendapatan semata-mata daripada program tertentu seperti program Affiliate dan Google Adsense. Blog ini biasanya mempunyai niche atau topik tertentu yang memfokuskan kepada tulisan-tulisan yang akan memberikan manfaat kepada semua pembaca dan pelawatnya.  

Blog pilihan 
Alamat Blog Pilihan: http://cieut.blogspot.com

            Blog pilihan saya adalah sebuah blog yang dimiliki oleh seorang lelaki yang bernama Mohd Nizar Bin Abdul Latib atau dikenali sebagai “Cieut” yang berumur 22 tahun. Beliau dilahirkan di Penaga, Pulau Pinang dan merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik beradik. Beliau kini sedang menuntut di Institut Perguruan Kampus Tunku Bainun. Blog ini diberi nama “Cieut Nizar” dengan tagline “cuma bercerita pada yang mahu tahu”. Blog ini mula ditubuhkan pada Mac 2009 dan tergolong dalam blog jenis peribadi yang banyak memfokuskan penulisan mengenai aktiviti-aktiviti harian, koleksi gambar peribadi dan kegemaran beliau malah blog ini tidak ubah seperti sebuah diari atau buku catatan harian.  

Jenis Personaliti di Ruang Siber (Personality Type in Cyberspace)
Pemilik atau penulis blog ini boleh dikategorikan sebagai seorang blogger yang tergolong dalam kalangan jenis berpersonaliti Narcissistic di ruang siber iaitu golongan yang mempunyai perasaan kagum, cinta dan suka pada diri sendiri. Golongan seperti ini lebih suka menceritakan mengenai diri mereka sendiri dan apabila mereka berada di ruang siber mereka sangat jujur dan selalunya tidak berpura-pura atau menipu mengenai identiti mereka. Golongan ini merasakan bahawa dengan menjadi diri sendiri adalah yang lebih baik dan kerana diri mereka adalah daripada golongan yang terbaik.

Hal ini boleh dibuktikan apabila hampir kesemua artikel-artikel yang ditulis dan dikemaskini oleh blogger ini adalah berkaitan dengan dirinya sendiri seperti biodata beliau, aktiviti-aktiviti kegiatan harian yang dilakukan, koleksi-koleksi gambar peribadi miliknya, berita terkini mengenai artis-artis yang menjadi idolanya, makanan kegemarannya dan macam-macam lagi. Hampir kesemua artikel yang ditulis biasanya disertakan dengan gambar sebagai bukti, tatapan pembaca/pelawat dan sebagai kenang-kenanganan peribadi beliau.

Dengan menggunakan tagline “cuma bercerita pada yang mahu tahu” jelas membuktikan bahawa beliau adalah seorang yang suka berkongsi ceritera mengenai kisah hidupnya dengan semua pengikut, pembaca dan pelawat blognya itu. Selain itu,  beliau juga mahu berkongsi kenangan pahit manis yang berlaku dalam kehidupan sehariannya dan beliau juga berkongsi ilmu pengetahuan serta maklumat yang diketahuinya dengan semua pembaca supaya ilmu yang dimiliki dimanfaatkan bersama. 

Teori Kepenggunaan dan Kepuasan 
“Mengapa manusia menggunakan media dan apakah yang mereka perolehi daripada media?” Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa ada sesetengah golongan akan merasa puas melalui media iaitu Teori Kepenggunaan dan Kepuasan. Melalui teori ini, persoalan tadi akan terjawab. Teori ini telah diperkenalkan oleh Herbert Blumer dan Elihu Katz pada tahun 1974 (Mervil & Sandra, 1988). Teori ini mengatakan dengan jelas bahawa pengguna media memainkan peranan aktif untuk memilih dan menggunakan media tersebut. Dengan kata lain, pengguna media adalah pihak yang aktif dalam proses komunikasi. Pengguna media tersebut akan berusaha mencari sumber media yang paling baik dan sesuai di dalam usaha memenuhi kehendaknya.

Ini bermakna, pengguna media mempunyai pilihan tersendiri untuk memilih media yang disukai bagi memenuhi kehendak dan kepuasannya. Seperti yang kita ketahui, setiap orang mempunyai kehendak dan kepuasan yang berbeza. Jika dikaitkan dengan blog danblogger yang dipilih, teori ini boleh diguna pakai. Blogger menggunakan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang sedia ada untuk mencari dan mendapatkan kepuasannya melalui media yang dipilih. Teori ini sangat jelas bahawa blogger tersebut telah mengambil keputusan dengan memilih untuk menggunakan media alternatif iaitu blog bagi mencapai kepuasannya.

Bagi blogger ini, menulis artikel-artikel mengenai diri sendiri, aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan, berkongsi minat dan kegemaran dan berkongsi maklumat dengan semua orang terutama pengikut dan pembacanya adalah satu kepuasan bagi dirinya. 

Penutup 
            Kesimpulannya, kecanggihan teknologi dalam bidang komunikasi semakin hari semakin berkembang pesat dan kecanggihan itu telah banyak membantu memudahkan kegiatan harian manusia pada masa kini. Kecanggihan itu juga telah membuatkan sesuatu berita atau maklumat yang terkini diketahui oleh orang ramai dengan cepat dan pantas. Malah kepuasan diri dalam menggunakan media juga boleh diperolehi sebagai contoh menulis artikel di blog dan juga berkongsi ilmu dengan pembaca blog tersebut. Setiap individu itu berbeza di antara satu sama lain kerana tidak semua individu menganggap teknologi yang sedia ada ini dapat memberikan kepuasan kepada mereka dan bukan satu perkara yang wajib.

No comments:

Post a Comment