Thursday 21 July 2011

Homoseksual (Gay & Lesbian) Bab 2

BAB 2
SOROTAN LITERATUR
2.1 Pengenalan
Homofobia ialah perasaan takut dan benci terhadap golongan yang mengamalkan cara hidup songsang iaitu hidup berpasangan sesama jantina yang juga dikenali sebagai golongan homoseksual seperti gay dan lesbian. Perkataan homofobia secara asalnya ditakrifkan oleh Weinberg pada tahun 1972 (Lingiardi, Falanga & Augelli, 2005), iaitu perasaan ketakutan yang amat sangat secara fizikal terhadap golongan lesbian dan gay serta perasaan kurang selesa dan takut golongan heteroseksual akan beranggapan bahawa mereka adalah individu gay atau lesbian apabila mereka bergaul dengan golongan homoseksual. Manakala menurut Pharr (1997) pula, homofobia adalah perasaan pelik dan tidak masuk akal mengenai ketakutan dan kebencian yang melampau terhadap individu atau golongan yang bercinta dan mempunyai tarikan seksual yang sama jantina dengannya.

Homofobia boleh merujuk kepada banyak cara bagaimana seseorang individu itu diperlakukan secara tidak adil dan kejam oleh individu atau golongan yang mempunyai perasaan homofobia ini. Adakalanya homofobia ini dilakukan dengan sengaja dimana secara terang-terangan untuk menyakiti golongan lesbian, gay, dan transgender. Homofobia juga dikatakan boleh berlaku dengan secara tidak sengaja dimana individu itu tidak langsung mempunyai keinginanan atau niat untuk menyakiti golongan tersebut tetapi ada juga individu yang tidak sedar dengan kesan dan akibat daripada perbuatan mereka itu.

Homofobia boleh dibahagikan kepada empat jenis (Blumenfeld, 1992). Pertama, homofobia peribadi. Homofobia ini dikatakan bersifat prejudis. Golongan ini sangat percaya kepada kepercayaan peribadi mereka dimana golongan lesbian, gay dan trandgender ini adalah satu perbuatan yang salah dan berdosa, tidak bermoral, sakit, individu yang tidak berkualiti atau individu yang tidak sempurna sama ada lelaki mahupun wanita. Golongan ini juga percaya bahawa prejudis terhadap individu tersebut perlu bagi tujuan mengajar dan masyarakat perlu diajar supaya bersikap prejudis terhadap individu yang songsang ini.
           
Kedua, homofobia antara manusia. Homofobia ini dianggap sebagai ketakutan, perasaan tidak suka dan benci terhadap individu yang terlibat dengan cara hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender. Perasaan tidak suka dan kebencian ini berkemungkinan besar akan mendorong kepada panggilan-panggilan nama yang tidak baik secara verbal ataupun gangguan fizikal dan golongan ini juga berkemungkinan besar akan melakukan diskriminasi terhadap mereka yang terlibat dengan cara hidup yang dikatakan tidak normal ini.

Ketiga, homofobia institusi. Homofobia ini merujuk kepada banyak cara dimana kerajaan, perniagaan, keagamaan, ketenteraan, sukan dan lain-lain institusi (Isensee, 1991) yang bersifat diskriminasi terhadap individu dan golongan yang mengamalkan cara hidup songsang bagi mendapatkan hak mereka sebagai seorang homoseksual. Organisasi dan institusi ini telah membuat dan menetapkan polisi, membahagi-bahagikan sumber dan mempertahankan kestabilan kedudukan yang tidak adil terhadap sikap dan tingkah laku ahli-ahli mereka yang dikatakan menyimpang dari kehidupan normal manusia sekaligus cara ini jelas menunjukkan bersifat diskriminasi.

Homofobia keempat adalah homofobia budaya. Homofobia ini lebih bersikap stereotaip terutamanya dalam media arus perdana (Blumenfeld, 1992). Homofobia ini merujuk kepada ketetapan sosial yang normal dimana kehidupan secara heterokseksual adalah lebih baik dan lebih sempurna berbanding homoseksual dan semua manusia harus berbuat sedemikian. Walaupun ketetapan ini tidak tertulis di dalam mana-mana undang-undang, mereka melihat dan menyebutnya setiap hari seperti yang terdapat di dalam televisyen dan cetakan iklan di mana hampir kesemuanya melibatkan perhubungan seksual di antara wanita dan lelaki yang dianggap normal. Mereka juga membuat andaian bahawa kanak-kanak juga akan lebih tertarik kepada pasangan berkahwin yang berlainan jantina berbanding pasangan berkahwin dengan pasangan yang sama jantina.

Menurut Pharr (1997) di dalam bukunya yang bertajuk “Homophobia: A Weapon of Sexism” berkata di dalam kehidupannya, beliau mempunyai pengalaman yang buruk terhadap kesan sikap homofobia yang mana dia disisihkan oleh kawan-kawan, dilayan dengan teruk oleh majikan dan banyak lagi. Manakala kawan-kawannya pula yang merupakan golongan lesbian dan gay juga turut menjadi mangsa kepada individu dan golongan yang mempunyai perasaan homofobia ini seperti dibuang oleh keluarga, dipukul, dirogol dan mati akibat tekanan yang dihadapi ini. Kuasa homofobia ini sudah boleh dianggap cukup bagus apabila 10% hingga 20% daripada golongan homoseksual ini hidup dalam ketakutan (menyembunyikan identiti seksual) atau hidup dalam bahaya (mendedahkan identiti seksual) atau kedua-duanya sekali.

2.2 Kajian Lepas
Berpandukan kepada hasil kajian yang dibuat oleh Grabb dan Curtis (2005) dalam Andersen dan Fetner (2008) terhadap penerimaan golongan homoseksual di dua buah negara yang berbeza iaitu Negara Kanada dan Amerika Syarikat, mereka mendapati bahawa kebanyakan orang bersetuju Negara Kanada lebih bersikap liberal dan terbuka terhadap golongan homoseksual berbanding Negara Amerika Syarikat termasuklah di dalam bidang politik dan undang-undang. Di Kanada, golongan homoseksual ini diberi jaminan bahawa mereka akan dilayan sama rata dan mereka layak menerima semua hak-hak mereka sebagai rakyat termasuklah hak untuk berkahwin sesama jantina dan perkahwinan mereka itu adalah sah dari segi undang-undang.

Jika Negara Kanada menerima baik kewujudan golongan homoseksual ini, berlainan pula dengan Negara Poland. Menurut Graff (2006), Negara Poland terutamanya golongan pemerintah yang terlibat secara aktif dalam bidang politik dan individu yang  menganut agama Christian Roman Katolik menolak habis-habisan kewujudan golongan ini. Presiden terbaru Poland iaitu Lech Kaczynski yang menang dalam pilihan raya pada tahun 2004 dan 2005 telah mengharamkan satu perarakan yang diadakan oleh golongan homoseksual ini untuk memperjuangkan hak-hak yang sepatutnya mereka terima terutamanya golongan gay yang dikenali sebagai “Equality Marches”. Keputusan yang dibuat ini dikatakan bukan bersifat peribadi atau sebaliknya, tetapi beliau mengharamkannya kerana perarakan ini dikatakan adalah bertujuan memaksa beliau untuk mengundurkan diri daripada menjadi Presiden.

Begitu juga dengan orang kanan dalam dunia politik Negara Poland iaitu Kazimierz Marcinkiewicz yang juga merupakan Perdana Menteri Poland pada Oktober 2005 sehingga Julai 2006. Beliau pernah mengeluarkan satu kenyataan mengenai golongan homoseksual ini. Beliau menyatakan bahawa perbuatan homoseksual ini adalah satu perbuatan yang sama sekali bertentangan dengan hukum alam dan jangan sesekali membenarkan golongan homoseksual ini bekerja terutamanya di sekolah-sekolah di Poland. Kenyataan ini jelas menunjukkan sikap pemerintah Poland yang terlalu homofobia dan juga bersifat diskriminasi.

Manakala hasil daripada kajian yang dijalankan oleh Lingiardi, Falanga & Augelli (2005) kepada dua kumpulan yang berbeza iaitu pelajar universiti dan anggota tentera di Itali telah mendapati bahawa golongan yang mengenali dan tahu mengenai individu yang mengamalkan cara hidup gay dan lesbian mempunyai tahap homofobia yang lebih rendah. Di antara kedua-dua kumpulan ini, peserta yang bersifat konservatif menunjukkan sikap yang lebih negatif terhadap golongan homoseksual manakala peserta yang cetek ilmu dan mengamalkan pendekatan hidup yang formal kepada agama lebih bersikap homofobia berbanding peserta yang menyatakan diri mereka lebih banyak terlibat dengan aktiviti dan pendedahan agama yang meluas. Selain itu, mereka juga mendapati bahawa ada segelintir anggota tentera yang hidup secara formal atau yang cetak pengetahuan agama, mempunyai bilangan yang lebih tinggi dan boleh menerima kehadiran golongan ini berbanding anggota tentera yang terlibat dan terdedah dengan didikan agama.

Di samping itu, mereka juga mendapati bahawa faktor yakin – rasa bersalah merupakan faktor yang mempunyai korelasi positif terhadap homofobia. Lebih banyak individu yang mempunyai perasaaan homofobia maka lebih merbahaya kepada golongan homoseksual kerana golongan ini dianggap sebagai golongan yang bermasalah dan tidak selamat. Peserta dengan skor yang lebih tinggi menyatakan mereka ini kuat terhadap tugas, tidak mempunyai harapan diri yang tepat dan takut terhadap penerimaan masyarakat. Kepada inidividu ini, sikap homofobia ini akan memberikan gambaran terhadap keperluan kekuatan kepada identiti diri mereka dengan menyokong dan mempunyai sikap yang negatif terhadap golongan gay dan lesbian.

2.3 Prejudis, Stereotaip dan Diskriminasi
2.3.1 Prejudis
Prejudis ialah pendapat, atau perasaan benci terhadap sesuatu yang diasaskan daripada pengalaman. Ia juga dikenali sebagai taakulan atau prasangka buruk. Perasaan ini boleh wujud disebabkan oleh kepentingan diri supaya sesuatu yang dibenci itu terjejas, dipengaruhi oleh sesuatu dan sebagainya. Menurut Isensee (1991), prejudis ialah sikap homofobia yang wujud terus daripada perasaaan homofobia yang kita hadapi setiap hari. Penindasan yang sistematik membuatkan kita sukar untuk merasai ketenangan mengenai seksual kita semasa kita sedang membesar kerana kita percaya bahawa jika kita memilih cara hidup songsang ini, kita telah melakukan satu kesalahan yang besar dan sangat merbahaya kepada kita jika diketahui oleh semua orang.

2.3.2 Stereotaip
Stereotaip ialah satu tanggapan yang buruk mengenai seseorang atau sesuatu perkara. Tanggapan ini turut berlaku terhadap golongan homoseksual. Golongan lesbian dikatakan sangat menderita akibat diskriminasi kerana mempunyai tarikan seks mereka yang sama jenis malah mereka juga menjadi mangsa terhadap gambaran stereotaip terhadap golongan wanita dan ciri-ciri kewanitaan yang ada pada mereka begitu juga dengan golongan gay yang menerima nasib yang sama seperti golongan lesbian apabila mereka juga turut disisihkan daripada kelompok masyarakat dan ciri-ciri kelakian mereka diperlekahkan (Sargeant M. 2009).

Golongan homoseksual di dalam media juga sering kali digambarkan sebagai “sensational stereotypes”. Kisah hidup mereka jarang-jarang sekali dipaparkan di dalam media dan jika ada isu mengenai mereka di dalam media, golongan ini  pasti di “bom” dengan tohmahan dan protes oleh golongan yang mempunyai tahap homophobia yang tinggi supaya jangan diberi bantuan termasuklah periklanan (Isensee, 1991) kerana mereka dianggap tidak normal dan sangat merbahaya kepada masyarakat dan negara.



2.1.3 Diskriminasi
Apabila seseorang individu itu mempunyai perasaan homofobia ini, maka akan lahirlah sikap prejudis, stereotaip dan diskriminasi terhadap golongan yang mengamalkan cara hidup homoseksual ini. Menurut Sargeant M. (2009), diskriminasi terhadap orientasi seksual dan identiti jantina bukan sahaja berlaku kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang kepada golongan ahli baru yang menyertai kumpulan golongan itu malah turut berlaku kepada  golongan homoseksual yang sudah dewasa dan tua serta yang telah lama mengamalkannya terutamanya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan kewangan.

Sebagai contoh yang berlaku di Amerika Syarikat di mana satu kajian yang dilakukan oleh Heaphy and Yip (2003). Di dalam kajian itu, mereka telah membuktikan bahawa diskriminasi banyak berlaku terhadap golongan ini terutamanya yang sudah dewasa dan tua. Semasa kajian itu dilakukan, mereka mendapati bahawa seorang wanita tua yang terlantar sakit di hospital tidak dilayan dengan baik dan tidak langsung disentuh oleh jururawat wanita kerana mereka mengetahui bahawa orang tua itu seorang transgender walhal dia sedang sakit tenat. Walaupun golongan lesbian dan gay yang mempunyai perasaan dan tarikan kepada golongan yang sama jantina, ini tidak bermakna bahawa mereka boleh disisihkan dan tidak dilayan sama rata seperti pesakit-pesakit yang bukan dari golongan homoseksual. 

Nama           : Siti Hajar Binti Said
No. Matrik : 19930
Fakulti        : Sains Sosial (Kajian Komunikasi)
Universiti  : Universiti Malaysia Sarawak
Tahun         : 2011

No comments:

Post a Comment